Followers

~ Blog AKIUM masih lagi dalam proses menaik taraf, selalulah menjenguk ke ruangan ini untuk mengetahui aktiviti terbaru AKIUM serta aktiviti yang dijalankan oleh pihak fakulti dan juga pihak universiti ~

Thursday, March 26, 2009

Gateway of Professional Career (GO-CARE’09)

AKIUM masih lagi dalam fasa pengurusan untuk mengendalikan satu program peringkat fakulti. Dengan tujuan untuk memberi ruang sebesar-besarnya kepada siswa siswi fakulti kejuruteraan untuk menjadi sebahagian entiti-entiti luar yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan teknologi di peringkat nasional dan di seluruh dunia. Perwakilan Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE), Engineering in Medicine and Biology Society (EMBS), Institution of Engineers Malaysia (IEM) dan Boards of Engineers Malaysia (BEM) akan bersama-sama dengan warga fakulti kejuruteraan Universiti Malaya dalam program GO-CARE’09 pada 3-5 April 2009.

Program ini merupakan buah tangan dari AKIUM untuk warga fakulti khususnya. Namun, ini bukan program yang bersifat ‘tangkap muat’ atau ‘asal boleh’ tanpa sebarang sasaran penting. 10 Januari 2009-, saya bersama dengan Dr. Fatimah Ibrahim (Jabatan Bioperubatan) telah menghadiri Annual General Meeting (AGM) IEEE Malaysia yang ke-19, diadakan di Dewan Kuliah, Kompleks Sains & Teknologi, UiTM, Shah Alam. Rasa seronok melihat komitmen siswa siswi UiTM yang mengendalikan AGM. Kami berkongsi cerita. Namun sepanjang bersama mereka,perbualan saya sedikit tawar untuk menceritakan bagaimana penglibatan siswa siswi kita dalam program-program fakulti.
Kehadiran kami di sana bukan sekadar peserta yang hanya menyumbang undi dalam AGM tersebut. Akan tetapi, saya dan Dr, Fatimah dalam usaha untuk mewujudkan student chapter untuk IEEE dan EMBS di Universiti Malaya. Tahun 2009, tahun yang bersejarah untuk fakulti kejuruteraan UM kerana pada tahun inilah tertubuhnya kedua-dua student branch bagi institut yang bertaraf antarabangsa secara rasminya. Petition dari 20 orang warga fakulti kita telah dihantar ke IEEE Member and Geographic Activities Department, USA pada 30 Januari 2009. Alhamdulillah, pada 19 Mac 2009 lalu, saya telah mendapat e-mail dari Mr. Joseph E. Hale III, Administrator of Geographic Unit Support, IEEE Member and Geographic Activities Department yang telah mengiktiraf penubuhan student branch ini.
Jika diperhatikan, sememangnya kampus kita agak ketinggalan berbanding kampus-kampus lain seperti UTM, UiTM, UTP, dan sebagainya dari sudut usia penubuhan cawangan IEEE ini. Mereka telah memulakan gerakan persatuan bertahun-tahun lalu berbanding Universiti Malaya. Pelajar mereka ‘hidup’ di fakulti. Apabila saya fikir kembali pelajar-pelajar kita yang hampir semuanya masih lagi giat dengan program-program di kolej kediaman walaupun di tahun 3 dan akhir bahkan ramai juga pelajar yang langsung tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti, saya menyeka peluh resah. Hairan pun ada.
Bukan untuk perlekeh atau menidakkan kepentingan menyumbang kepada program-program di kolej kediaman. Tetapi alasan mereka memberikan komitmen itu untuk terus mendapat kelayakan tinggal di kolej memang tak masuk akal. Adakah mereka menyumbang kepada kolej dengan niat untuk menjaga kepentingan diri? Jika begitu falsafahnya, lebih baik mereka sertai program-program di fakulti yang lebih membuka jalan kepada kerjaya apabila programnya banyak berkait dengan bidang bersifat akademik. Bahkan berkait terus dengan lapangan kerjaya. Saya akan ulas hal ini dalam entry akan datang, insyaAllah.
Secara ringkasnya, dari situ juga datang idea pelaksanaan program GO-CARE’09. AKIUM mengambil inisiatif memberi peluang kepada warga fakulti mendaftar secara rasmi kepada badan-badan jemputan kami. Sememangnya, warga kampus kita tidak asing dengan program ke arah membentuk kerjaya seperti Career Path, Industrial Training, dan banyak kursus kerjaya yang lain anjuran AIESEC. Pelajar terlibat, datang dan pergi bagi memenuhi prasyarat untuk melengkapkan latihan industri. Namun berbeza dengan tujuan utama program GO-CARE’09, pelajar harus sedar kepentingan menyertai entiti-entiti ini dan tahu bagaimana ia boleh membantu membina masa depan yang lebih terarah.
AKIUM menjemput seluruh warga fakulti (termasuk fakulti sains) untuk bersama menyertai program ini. Kami tak minta program ini dimeriahkan. Cuma seruan dari hati ke hati, kami harapkan kesedaran dari peringkat pelajar akan kepentingan mengenali masa depan diri sendiri.

No comments:

Post a Comment