Dalam kesibukan AKIUM merancang dan menguruskan Program TKA, beberapa ahli AKIUM sempat juga menyertai program kepimpinan yang dianjurkan oleh Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya. Saya bersama dengan tulang belakang program TKA, saudara Mohd Taufik bin Abd Aziz menjadi peserta program.
Program yang bertempat di Hotel Shah Village selama dua hari satu malam itu sangat berbaloi. Secara peribadi, saya menilai keberjayaan sesuatu program dari sudut pengisian dan uslub programnya. Soal kemudahan, kekemasan, dan nilai fizikal lain, itu juga item penting untuk mengukur kualiti program. Tidak boleh diambil mudah, tidak boleh dipandang biar.
Enam modul disediakan untuk peserta program. Terlebih dahulu, saya membelek-belek booklet modul itu. Pada asalnya saya berasa sedikit hairan dengan pengisian modul yang nampaknya jauh dari tema kepimpinan. Namun, satu demi satu modul kami lepasi dengan rasa puas hati memandangkan modul-modul itu sarat dengan mesej-mesej yang jauh lebih penting untuk dibincangkan sebelum bercakap soal kepimpinan.
Speakers terdiri dari berbagai latar belakang agama termasuk Islam dan Buddha. Yang menjadikan program ini lebih menarik ialah hampir semua perbincangan menjurus kepada soal asas kehidupan, atau bahasa mudahnya, agama. Semua peserta beragama Islam walaupun pihak penganjur berusaha mendapatkan peserta dari berbagai agama. Jadi, kebanyakan pandangan dari peserta juga ialah dicedok dari pandangan agama. Masakan tidak, kebanyakan modul bercerita tentang perkara seasas tujuan hidup, dan tanggungjawab kita dalam kehidupan.
Modul yang menarik perhatian saya ialah modul yang cuba memberitahu kami bahawa kehidupan kita mempunyai tujuan. Dengan menganalogikan manusia sebagai pensil, mereka menyoal tentang tujuan pensil itu dicipta dan kapasiti (apa yang pensil perlu lakukan/dilakukan untuk dia cuba capai tujuan penciptaan) pensil itu sendiri. Mudahnya, tujuan pensil diciptakan ialah untuk menulis. Kapasitinya ialah mengasah mata pensil tersebut.
Perbincangan manjadi lebih serius apabila modul seterusnya cuba membawa peserta melihat tujuan manusia diciptakan. Mr. Lau, moderator bagi modul ini, betul-betul memainkan peranannya sebagai moderator dengan baik walaupun pada asalnya, kami ragu-ragu bagaimana kami mahu berhujah dengan sumber ambilan al-Quran dan sunnah sedangakn moderator sendiri non-muslim? Akan tetapi, sikip meraikan perbezaan dan menghormati pendirian itu menjadi formula dia mengendalikan program di samping sikap berlaku adil dengan kebenaran.
Bukan lagi menjadi rahsia apabila kita dapati banyak produk da’ie kita yang masih kurang dalam disiplin dakwah. Khususnya apabila bercerita tentang uslub dan kaedah. Nampaknya, saya perlukan entry baru untuk ulas isu ini dengan lebih cermat. Mudah-mudahan, peluang untuk perkongsian itu sentiasa terbuka.
No comments:
Post a Comment