Sekembalinya kami dari bumi Aceh 14 Disember 2008 lalu, tiada ungkapan lain melainkan kesyukuran yang tak terhingga kepada Allah S.W.T. Hampir semua rancangan kami tercapai dan laluan kami dipermudah. Sejak awal lagi kami melihat program ini tidak hanya memberi manfaat kepada masyarakat di sana, bahkan kami juga mendapat manfaat yang tak ternilai. Program TKA, bukan program tangkap muat yang diada-dakan untuk memenuhi kalendar AKIUM. Bukan program yang diwujudkan semata-mata menunjukkan AKIUM tidak lagi ‘lemau’ di fakulti.
AKIUM memilih Pondok anak yatim di Lhoksumawe sebagai tapak program kebajikan kali ini bukan kerana kami meminggirkan keperluan anak-anak yatim di Malaysia. Ramai juga yang tertanya-tanya tentang rasional AKIUM berprogram di sana. Yang lebih aneh, membandingkan program kebajikan ini dengan kesanggupan golongan-golongan sosialis yang sanggup bersama-sama dengan penduduk tempatan mempertahankan hak mereka. Saya menggaru kepala.
Perbezaan Kita dan Mereka
Agenda yang kami bawa ke sana cukup jelas, bersempena Hari Raya Korban di samping memberi semangat dan galakan motivasi kepada anak-anak yatim di sana yang hidup dalam keadaan serba kekurangan. Mereka tidak seperti anak-anak yatim di Malaysia. Dari sudut kemudahan, black out dan keputusan bekalan air merupakan masalah harian. Belum lagi sebut tentang status kebersihan air yang digunakan sehari-hari. Tak banyak jalan tanah yang terturap menyebabkan kebersihan sukar dijaga khususnya semasa musim hujan. Dari sudut psikologi, kebanyakan sebab keyatiman mereka ialah mangsa konflik Gerakan Aceh Merdeka (GAM), dan mangsa tsunami yang sudah tentu memberi kesan besar ke atas pemikiran mereka. Bagi mereka, Hari Raya Korban merupakan peluang untuk menjamah daging lembu dan kambing.
Berbeza dengan anak-anak yatim di Malaysia yang kini sudah tidak menerima lagi bantuan berbentuk makanan dan pakaian. Mereka dilayan dengan baik dari pelbagai sumbangan yang datang tak putus-putus. Jamuan di hotel itu acara biasa. Enam pasang kasut raya untuk seorang kanak-kanak juga tak pelik didengar. Malah ada juga di kalangan mereka merungut apabila mereka diambil sebagai anak angkat apabila keluarga angkat mereka tidak memberi kemewahan sepertimana mereka rasai di rumah anak yatim mereka sebelum ini. Program TKA-anak di hutan disusukan, anak sendiri di rumah di’milo’kan.
Kills Two Birds with One Stone
Selari dengan itu, kami memilih Aceh sebagai tempat kami menghulurkan kebajikan fizikal dan rohani. Alang-alang perancangan ini dilakukan di luar negara, maka bonus pula untuk ahli AKIUM belajar bagaimana pengurusan persatuan yang melibatkan hubungan luar antarabangsa, kebudayaan negara Indonesia, dan sebagainya. Malahan, program ini memberi pengalaman baru kepada sebahagian besar peserta yang pertama kali ke luar negara, menaiki kapal terbang, dan membuat passport. Hati saya sejuk melihat kesungguhan mereka dalam usaha menjayakan program ini kerana kami sedar keberadaan kami di sana bukan untuk melancong (Aceh bukan tempat yang baik untuk pelancongan), tetapi membawa misi menyemai benih perubahan kepada pemuda pemudi seakidah kita.
Kami tahu, enam hari kami di sana tidak memungkinkan untuk kami memberi lebih atau melihat perubahan itu di depan mata. Kami bukanlah witches yang boleh ubah manusia dengan hanya menjampi. Mereka juga bukanlah robot yang boleh diubah dengan hanya diprogramkan. Apa yang kami lakukan hanyalah menyemai benih perubahan dalam diri mereka. Dengan didikan yang mereka terima dari pengasuh mereka, saya percaya anak-anak yatim ini mampu menyuburkan sendiri benih yang kami semai dulu. Di kalangan mereka sendiri sudah punyai cita-cita yang besar. Mereka hanya inginkan motivasi sebagai keperluan ruji bagi menyemarakkan azam dan tekad mereka.
No comments:
Post a Comment