Followers

~ Blog AKIUM masih lagi dalam proses menaik taraf, selalulah menjenguk ke ruangan ini untuk mengetahui aktiviti terbaru AKIUM serta aktiviti yang dijalankan oleh pihak fakulti dan juga pihak universiti ~

Monday, November 17, 2008

Tiada Lagi Masa Untuk Membuang Masa


"Siapa yang melihat dunia pada hari ini sama seperti dia melihat dunia 5 tahun lalu, maka usianya terbazir selama 5 tahun"


Ini ialah ungkapan yang pernah membuat saya termenung seketika. Termenung kerana mencari rasionalnya yang entah di mana. Mungkin usia 'sekolah' saya tak sampai kepada maksud sebenarnya. Sebab itulah manusia perlu dewasa. Perbualan saya beberapa minggu yang lalu dengan seorang pensyarah dari jabatan Kimia membuatkan saya berfikir kembali tentang ungkapan tersebut. Dr Ezzat Chan juga seorang ketua jabatan di jabatannya. Mempunyai pandangan kritikal terhadap perkembangan ke'mahasiswa'an pelajar-pelajarnya.


Tajuk ekonomi yang kami bualkan memang mencelikkan minda saya. Walhal ketika saya menghadiri kuliah ekonomi kejuruteraan yang saya pertaruhkan 2 jam kredit, mata saya pun tak tercelik. Ideanya bukanlah baru, akan tetapi menyegarkan apabila beliau bercerita dari hati ke hati. Persoalan ekonomi sebenarnya menghantui setiap wallet mahasiswa. Bantuan yang diberikan kepada mahasiswa berbentuk biasiswa dan pinjaman memang sesuatu yang perlu. Namun tak semestinya mereka perlu berhenti dari mula belajar mencari sendiri sumber ekonomi mereka sendiri. Sekurang-kurangnya mereka perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan kehidupan selepas keluar dari kampus.


Ramai juga di kalangan rakan mahasiswa saya yang tidak menyewa dan mendaftar di kolej kediaman hanya kerana mahu berjimat. Hanya menumpang di bilik-bilik kolej yang kosong. Itu memang satu pilihan tetapi belum tentu pilihan yang terbaik jika dibincang dari sudut berkat dan toleransi masyarakat kampus sekeliling. Ada juga rakan saya yang menunggu berbulan-bulan sebelum dia dapat baiki tangki minyaknya yang bocor. Dalam kes lain, ada juga yang sanggup membuat kerja kotor semata-mata mahukan wang saku bulanan. Belum lagi cerita pelajar yang berhenti belajar semata-mata menanggung hutang. Kita cukup sengsara dengan masalah ekonomi. Cerita-cerita sebegini mengiakan kebenaran hadith nabi Muhammad S.A.W tentang kefakiran itu mendekatkan diri kita kepada kekufuran. Rasulullah S.A.W sendiri kerap berdoa agar dijauhkan dari kefakiran kerana ancaman kefakiran kepada iman itu sendiri. Maka tak salah kalau kita katakan ekonomi itu ialah tajuk kehidupan yang amat perlu khususnya dalam kehidupan sebagai mahasiswa.


Bagaimana tidak? Apabila bercerita tentang ekonomi, sudah tentu jalan kepada kejayaannya bercabang, berliku, dan penuh jurang kegagalan. Andai kata rancangan ekonomi kita mengambil masa 10 tahun untuk dikira berjaya, dan kita hanya mula memikirkannya pada usia 30 tahun, maka tunggulah lagi 10 tahun untuk tuai hasilnya. Bagaimana jika kita gagal merancang dengan baik atau kita tersilap jalan? Jika kita sudah mulakan seawal usia kampus, kita mungkin lebih belajar dan dapat mengecapi hasil bisnes kita lebih awal. Oleh sebab saya berfikir begitu, terdetik juga di hati saya, kita sudah tidak punya masa untuk buang masa.


Kita tak perlu menjadi seorang businessman seawal usia ini. Tapi cukuplah dengan mula berjinak-jinak dengan permainan strategi perniagaan atau pelaburan. Membiasakan diri dengan istilah-istilah ekonomi dan perniagaan agar sekurang-kurangnya tidak berkerut dahi sebelum bermula. Bahkan istilah businessman itu sendiri sudah kerap disalahmaknakan. Anda bersetuju menganggap seorang doktor gigi sebagai businessman hanya kerana dia mampu membuka klinik giginya sendiri, wang masuk setiap kali orang sakit gigi, dan dia gembira membuka mulut orang lain setiap hari? Bagaimana jika suatu hari dia ditakdirkan mendapat penyakit yang menghalangnya dari memegang hanya sebatang berus gigi? Kliniknya mungkin dijual atau diwakafkan menjadi surau dan dia pun mencari sesuatu yang entah apa pula sebagai ganti sumber kewangannya yang asalnya ialah kemahiran merawat gigi orang.


Sebagai seorang usahawan, lebih dari itu, dia patut punyai kemahiran membina sistem. Siapa kata profession doktor gigi tak boleh menjadi usahawan? Ambil saja contoh Colonel Harland Sanders yang berkemahiran memasak satu resepi ciptaannya sendiri. Dalam masa yang sama kemahiran itu dikongsi dalam perkongsian yang dipanggil sistem. Sehingga kini, resepinya masih digilai dan diuruskan oleh ribuan orang yang bekerja dalam sistem yang kini dikenali Kentucky Fried Chicken (KFC). Andai Colonel jatuh sakit enam bulan dan tak dapat memegang kuali dalam tempoh itu sekali pun, duit dari sistem perniagaan yang dia bina dulu mampu mengisi poketnya sepanjang tempoh itu malah sehingga akhir hayatnya.


Menyedari topik ekonomi ini bukan sekadar subjek untuk peperiksaan akhir semester, memang benar kita perlu bermula dari sekarang. Sekarang itu juga bermaksud, secepat mungkin. Tak perlu terlalu gelojoh, jangan pula bertangguh-tangguh. Asalkan apa yang berlaku 5 tahun lalu, tak sama seperti kita 5 tahun akan datang. Kerana kita hanya bazirkan usia 10 tahun hanya dengan kehidupan yang sepi dari sebarang perubahan.


Faruqi Razali,

Yang di-Pertua AKIUM


No comments:

Post a Comment